ReformIS

[ Contents | Post ]

POLIS NEGERI ADAKAN PERJUMPAAN DENGAN CALON-CALON PILIHAN RAYA

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:22:06

Comments

POLIS NEGERI ADAKAN PERJUMPAAN DENGAN CALON-CALON PILIHAN RAYA

KOTA BAHARU, 23 Nov (Bernama) -- Polis hari ini mengadakan perjumpaan kedua dengan calon-calon dan wakil calon pilihan raya umum di Kelantan. Seramai 107 calon dan wakil calon pilihan raya menghadiri perjumpaan itu di sini.

Ketua Polis Kelantan SAC 1 Datuk Mohamed Yunus Othman berkata wakil-wakil parti politik itu telah diminta mengawal pergerakan penyokong mereka supaya tidak terlibat dengan pergaduhan semasa kempen menjelang pengundian 29 Nov ini.

Beliau turut meminta mereka memastikan poster-poster dan sepanduk yang dipasang tidak mengganggu lalulintas dan mengingatkan mereka akan bahaya perbuatan penyokong-penyokong parti menunggang motosikal sambil membawa bendera parti.

Katanya sejumlah 3,700 anggota polis akan bertugas mengawasi pilihan raya di seluruh Kelantan dan seramai 700 anggota polis tambahan akan dibawa dari luar Kelantan mulai esok untuk membantu.

Mohamed Yunus berkata polis yakin parti-parti politik akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi menjaga ketenteraman awam supaya para pengundi selesa menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum ke-10 ini.

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999