ReformIS

[ Contents | Post ]

MTUC MINTA SWASTA PATUHI CUTI UMUM PADA HARI MENGUNDI

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 04:02:27

Comments

MTUC MINTA SWASTA PATUHI CUTI UMUM PADA HARI MENGUNDI

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Beberapa majikan tidak bersedia memberikan cuti bergaji pada hari mengundi, yang telah diumumkan cuti umum pada 29 Nov ini, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Presiden MTUC Senator Zainal Rampak berkata MTUC telah diberitahu beberapa majikan hanya akan memberikan masa untuk pekerja mengundi dan selepas itu kembali bekerja, dan tidak cuti bergaji.

"Ini tidak adil kepada pengundi yang berdaftar di bandar kelahiran mereka tetapi bekerja di tempat lain," katanya dalam satu kenyataan.

Zainal meminta Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan arahan tegas kepada sektor swasta agar majikan memberikan cuti bergaji pada hari mengundi.

Dengan menafikan pekerja cuti bergaji pada hari mengundi, majikan sebenarnya menghalang pekerja menunaikan hak mengundi mereka, katanya.

"Demokrasi tidak bermakna apabila majikan tidak bersedia membenarkan pekerja mereka melaksanakan hak mengundi mereka. Kami meminta majikan agar bertanggungjawab dan membenarkan pekerja mengundi pada hari itu," katanya.

--BERNAMA

Last changed: November 23, 1999