ReformIS

[ Contents | Post ]

FADZIL NOOR MEMPERJUDIKAN NASIB?

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 00:13:01

Comments

FADZIL NOOR MEMPERJUDIKAN NASIB?

Oleh Mohd Fisol Jaafar

ALOR SETAR, 23 Nov (Bernama) -- Tindakan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Raya yang disandangnya sejak 1982 untuk bertanding di DUN Anak Bukit pada pilihan raya ke-10 ini memaranjatkan banyak pihak.

Kalangan anggota parti itu pun turut tersentak kerana mereka bimbang ia satu percaturan yang kurang bijak dan boleh membawa padah.

Kenapa dia memperjudikan nasib berpindah ke tempat yang dianggap kubu PAS paling teguh di Kedah itu, ke kawasan yang kurang selamat dan berhadapan pula dengan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin, seorang Exco kanan kerajaan negeri?

"PAS mahu memperluaskan penguasaannya di Kedah dan sebagai pemimpin parti pembangkang paling besar di Malaysia, dia mahu menunjukkan bahawa seorang pemimpin harus bersedia untuk berkorban," kata seorang pemerhati.

Bagaimanapun pemerhati itu berpendapat Fadzil tentu sudah memikirkan semasak-masak langkahnya itu dan keputusannya mungkin berasaskan kepada beberapa faktor. Faktor pendorong pastinya jumlah majoriti kecil yang diperolehi Abdullah Hasnan dalam pilihan raya umum 1995.

Pada pilihan raya itu, Abdullah Hasnan memperolehi 7,044 undi, mengatasi lawannya dari PAS, Abdul Rahman Halim dengan majoriti hanya 568 undi.

Di Bukit Raya pada 1995, Fadzil mendapat 11,466 undi, menewaskan calon BN, Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,416 undi.

Ketika mengumumkan senarai calon partinya baru-baru ini, Fadzil melahirkan keyakinan bahawa DUN Bukit Raya akan tetap menjadi milik PAS walaupun bukan dia calonnya.

Ini bermakna PAS yakin pengundi di situ tidak mengundi calon tetapi mengundi parti.

Bagaimanapun, seorang pemerhati politik di kawasan Parlimen Pendang yang meliputi DUN Bukit Raya dan DUN Sungai Tiang berkata, tindakan Fadzil itu melegakan BN kerana kali ini mereka percaya dapat merobohkan kubu PAS di Bukit Raya.

"Calon mereka tidak segagah Fadzil. Kali ini pintu terbuka luas untuk BN," katanya.

Namun begitu, pemerhati itu berkata BN Pendang tidak boleh bersorak lagi kerana Fadzil turut bertanding di Parlimen Pendang menentang penyandang, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Abdul.

"Ini bermakna Fadzil masih ada di sini dan sudah tentu tarikan terhadapnya masih kuat," kata pemerhati itu.

Pada 1995, Othman memenangi kerusi Parlimen Pendang dengan lebihan 1,961 undi ke atas lawannya dari PAS Mohamed Taulan Rasul yang mendapat 18,375 undi.

Kali ini, Mohamed Taulan, bekas penasihat undang-undang Majlis Perbandaran Kota Setar, bertanding di Bukit Raya dan dicabar oleh Ketua Pemuda Umno Pendang Abdullah Bahari.

Pemerhati politik di Alor Setar pula berkata kemenangan Fadzil di Anak Bukit bergantung kepada sejauh mana Abdullah Hasnan menyiapkan diri untuk bertanding.

Kecekapan jentera pilihan BN di kawasan itu sudah teruji pada 1995 dan kejayaan itu akan diulangi jika tahap kecekapan itu ditingkatkan kali ini.

Majoriti 568 undi yang diperolehi BN pada 1995 bukannya besar dan mudah terhakis.

DUN Anak Bukit mempunyai 20,245 pengundi yang terdiri daripada 17,569 pengundi Melayu, 2,352 Cina, 252 Melayu dan 61lain-lain kaum.

Pengaruh PAS di Anak Bukit tidak kurang hebatnya tetapi ramai pemerhati politik berpendapat kejayaan Fadzil bergantung kepada sejauh mana dia mampu mempengaruhi pengundi "atas pagar" untuk mengundinya.

Malahan, PAS juga berharap pakatannya dengan DAP dalam apa yang dinamakan barisan alternatif boleh menarik sedikit undi masyarakat Cina di kawasan itu kepada PAS, kata mereka.

Bagi Fadzil, kemenangan itu amat penting kerana jika perhitungannya di Anak Bukit tidak menjadi dan dia tewas juga di Pendang, maka dia menjadi "seorang presiden tanpa kerusi."

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999