ReformIS

[ Contents | Post ]

Antara Perjuangan Muslimat PAS dan Wanita UMNO

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 22:16:25

Comments

Antara Perjuangan Muslimat PAS dan Wanita UMNO

Saban hari kecaman demi kecaman dilemparkan kepada pimpinan PAS terutama kecaman yang berkaitan dengan isu-isu wanita . Sering juga kedengaran kecaman-kecaman dari pelbagai pihak menuduh pimpinan PAS mengenepikan golongan wanita dalam segala aspek . Artikel ini antara lain bertujuan menerangkan pendirian muslimat PAS dalam beberapa isu terutamanya yang berkaitan dengan kedudukan muslimat di dalam PAS. Dan seterusnya membuat perbandingan akan kedudukan wanita didalam UMNO.

PAS pada dasarnya adalah sebuah parti Islam yang berpaksikan kepada rukun syahadah dan keredaan Allah. Justru itu , PAS seboleh mungkin meletakkan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sandaran pentadbiran dan perjalanan partinya. Bagi memastikan PAS tidak tersasar dari landasannya Majlis Syura yang terdiri dari para ulama berfungsi sebagai pengawal dasar kepada setiap cara dan tindakan yang diambil oleh PAS.

Bersesuaian dengan sebuah parti Islam sudah tentunya segala perlaksanaan dasar mestilah berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah. Islam satu cara hidup yang syumul yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya seperti masuk ke tandas hinggalah perkara yang besar seperti pemerintahan negara perlu mengikut adab-adab tertentu bersesuaian dengan kehendak zaman tanpa mengenepikan prinsip-prinsip asas ajaran Islam.Firman Allah yang bermaksud :

"Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang-orang yang menyerah dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid), ..."

(Surah an-Nisa':125)

Islam telah menaikkan taraf wanita ke suatu tempat yang amat suci dan unik sekali. Tidak ada agama yang mengiktiraf jawatan wanita sebagai ibu dan isteri di tempat yang paling tinggi dan sewajarnya di alam ini. Sedarkah kita siapakah yang telah mendidik kita menjadi orang-orang yang berjaya di dalam masyarakat. Lupakah kita akan jasa dan doa ibu kita yang tidak tahu membaca dan menulis itulah yang telah memberi kita semangat dan sokongan kepada kita untuk terus berjaya menjadi pemimpin masyarakat , menjadi orang yang bijak pandai. Berkat doa ibu jugalah kita mendapat kejayaan demi kejayaan di dunia ini. Justru itu peranan ibu merupakan peranan yang amat besar di dalam kehidupan seharian hidup kita. Pengiktirafan jawatan ibu dan isteri tidak boleh dipandang remeh.

Sebagai isteri pula, wanita berperanan sebagai penenang hati suami dan pendorong suami dikala suami memerlukan .Allah telah menanamkan perasaan kasih sayang antara suami isteri dan wujudnya sakinah atau ketenangan di dalam sesebuah keluarga datangnya dari rahmat Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu kasih sayang . . . . . . . . "

( Ar-Rum: 21)

Tidakkah peranan isteri dan ibu merupakan peranan yang unik yang telah diiktiraf oleh Islam sebagai jawatan yang terpenting di dalam sesebuah keluarga ? Jika kedua-dua peranan ini tidak dapat diuruskan dengan baik boleh diumpamakan seperti sebuah organisasi yang tidak diuruskan dengan baik, maka akibatnya kepincangan akan berlaku.

Pada prinsipnya juga Islam telah meletakkan kaum bapa sebagai pencari nafkah untuk keluarga. Merekalah yang akan bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga. Islam telah menggariskan menjadi kewajipan kepada kaum bapa untuk mencari nafkah di dalam apa keadaan sekalipun. Jika tanggungjawab ini tidak dilaksanakan dengan sempurna maka akan pincanglah sesebuah keluarga. Bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud :

"Dan para ayah wajib memberi nafkah kepada para ibu dan memberi pakaian mereka dengan baik."

(Al-Baqarah:233)

Tambahan lagi dengan sifat fizikal kaum lelaki yang gagah dan kuat melayakkkan mereka menjadi ketua rumahtangga. Justru itu pada dasarnya kaum wanita dan lelaki adalah saling lengkap melengkapi diantara satu dengan lain. Begitulah adil dan cantiknya ajaran Islam, meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Berpandukan kepada prinsip di atas,muslimat PAS dengan rasa penuh bangga menerima pengiktirafan Islam ke atas kaum wanita sebagai isteri dan ibu sebagai satu penghormatan yang paling tinggi kepada kaum wanita. Peranan wanita di dalam sesebuah keluarga amat penting di dalam menjamin kebahagiaan dan keharmonian sesebuah rumahtangga.

Walaubagaimanpun, muslimat PAS amat peka dengan tuntutan dan suasana semasa. Memandangkan kepada beberapa faktor seperti kenaikan kos sara hidup dan keperluan sumber manusia telah memaksa wanita keluar rumah bekerja . Di kalangan muslimat Pas sendiri ramai yang terpaksa bekerja bagi membantu suami dalam menampung perbelanjaan rumahtangga yang semakin hari semakin meningkat.

Muslimat Pas juga yakin bahawa peranan wanita di dalam masyarakat tidak boleh dipandang ringan.Masyarakat memerlukan wanita yang berwibawa untuk melaksanakan dakwah terutama dikalangan wanita sendiri. Peranan wanita seperti yang digariskan oleh Islam perlu disebarkan kepada semua. Permasalahan seperti pengeksploitan wanita sebagai pelaris barangan komersil perlu diatasi . Kita tidak mahu wanita menjadi bahan murahan dengan menjual maruah diri dengan menjadi GRO atau lain-lain pekerjaan yang hanya menguntungkan beberapa pihak dengan menggunakan wanita sebagai barang dagangan.

Disamping itu muslimat PAS juga mengambil berat akan wanita-wanita yang teraniaya dan didera oleh suami dan ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan suami. Justru itu muslimat PAS menyokong penuh penubuhan-penubuhan NGO yang memperjuangkan nasib golongan wanita yang disebutkan tadi. Oleh kerana pentingnya tenaga muslimat dalam menangani permasalahan semasa, Dewan Muslimat PAS telah meletakkan visi dan misinya seperti berikut. Visi Dewan Muslimat PAS : 'Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia menerusi tenaga muslimat'. Dan misi Dewan Muslimat pula ialah : membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam sebenar serta melahirkan muslimat mujahidah berilmu, beriman, beramal, bertaqwa, berperanan sebagai daei (pendakwah) kepada masyarakat

Muslimat PAS melihat masih banyak ruang-ruang kosong yang tidak dapat diisi oleh wanita UMNO terutama dalam memperjuangkan hak-hak wanita. Berapa banyak kes-kes mahkahmah syariah yang tertangguh akibat dari kelembapan atau lebih tepat lagi diskriminasi terhadap kaum wanita berlaku. Berapa banyak kes-kes wanita yang menjadi ibu tunggal yang ditinggalkan suami tanpa nafkah anak-anak. Saban hari permasalahan wanita makin lama menjadi semakin rumit. Apakah peranan wakil-wakil rakyat wanita UMNO khususnya dalam perkara ini.

Wakil rakyat dikalangan wanita UMNO begitu bangga kerana dapat duduk sama taraf dengan wakil rakyat dari kaum lelaki. Apa yang dibanggakan ? Adakah sekadar untuk mendapat glamour, pangkat dan harta semata ? Adakah hanya untuk kepentingan diri dan keluarga ? Selesaikah masalah wanita dengan adanya wakil rakyat wanita dari kalangan UMNO ? Dapatkah wakil rakyat wanita UMNO menyelesaikan masalah wanita yang bermasalah seperti yang disebutkan di atas ? Dapatkah wanita UMNO menerangkan kepada wanita akan peranan mereka yang sebenarnya seperti yang digariskan oleh Islam?

Dapatkah wanita UMNO membantu dalam mengurangkan kes-kes perceraian dan deraan yang berlaku saban hari ? Apakah wanita UMNO merasa bangga dengan pertambahan bilangan wanita korporat melayu dan dimasa yang sama bilangan mangsa-mangsa rogol dan pencabulan seks juga meningkat? Dapatkah wakil rakyat wanita UMNO menyelamatkan Noraishah Bukhari dan lain-lain mangsa murtad yang kebanyakannya terdiri dari golongan wanita? Selesaikah masalah keruntuhan akhlak muda mudi yang semakin dibimbangi oleh ibubapa dewasa ini ? Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan ikhlas oleh wanita-wanita UMNO khasnya wakil-wakil rakyatnya.

Di dalam Islam, menyelamat dan membela mangsa rogol dan murtad adalah lebih diutamakan dari menambahkan bilangan wanita didalam sektor korporat dan perniagaan. Muslimat PAS melihat kepentingan agama dan survival ummah adalah perkara pokok yang perlu diberikan perhatian. Kerana ini melibatkan keturunan dan masadepan sesebuah masyarakat khususnya masyarakat Islam. Justru itu kerja-kerja dakwah yang dianggap sebagai kerja-kerja belakang tabir yang selama ini di pelopori oleh muslimat PAS khususnya kepada ahli-ahli dan masyarakat amnya mempunyai impak atau kesan jangkapanjang yang mendalam dalam menentukan survival ummah. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang "

( Surah Al-Baqarah: Ayat 218)

Memandangkan PAS sebuah parti pembangkang sudah tentu ruang lingkup pergerakan muslimat PAS amatlah terbatas. Walaubagaimanapun kami yakin muslimat PAS dapat meneruskan akiviti-aktiviti melibatkan kepentingan masyarakat dengan lebih meluas sekiranya pengundi memberikan peluang kepada Barisan Alternatif untuk memerintah.

Di kala itu kita dapat lihat setiap ahli muslimat PAS dari setiap golongan samada dari golongan profesional ataupun tidak, akan bangkit bersama-sama berganding bahu dengan rakan-rakan wanita dari Barisan Alternatif menjayakan program-program atau aktiviti-aktiviti yang menguntungkan rakyat dan negara di dunia dan akhirat. Ini bertepatan dengan manifesto Barisan Alternatif iaitu memartabatkan wanita ditempatnya yang hak, menjadikan Islam sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh (ad-deen) dikalangan umat Islam dan seterusnya memberi keadilan kepada semua rakyat.

Sekian wasalam

http://welcome.to/PAS_Jerantut

Last changed: November 22, 1999