ReformIS

[ Contents | Post ]

PAKATAN PEMBANGKANG JAMIN TIDAK AKAN BUAT KACAU

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 20:06:03

Comments

PAKATAN PEMBANGKANG JAMIN TIDAK AKAN BUAT KACAU

JOHOR BAHARU, 22 Nov (Bernama) -- Pakatan parti-parti pembangkang hari ini memberi jaminan bahawa ia tidak akan cuba menimbulkan kekacauan semasa kempen dan selepas pilihan raya umum ke-10 pada 29 Nov ini.

Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Profesor Dr Syed Husin Ali memberitahu wartawan sempena kunjungan beliau ke sini, hari ini, bahawa tiada sebab untuk pakatan pembangkang yang menggelar diri mereka sebagai Barisan Alternatif menimbulkan kekecohan.

Parti-parti yang terlibat dalam pakatan itu ialah PAS, DAP, Keadilan dan PRM.

Malangnya kata beliau pihak Barisan Nasional (BN) telah memfitnah bahawa pakatan parti-parti pembangkang itu akan menimbulkan persekitaran yang akan mencetuskan kekacauan menerusi poster-posternya yang terpapar di dada akhbar-akhbar Perdana.

Bahkan BN telah dicabar supaya bersama-sama dengan pakatan pembangkang mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk membuat komitmen bersama menjamin keadaan aman damai semasa dan selepas proses pilihan raya.

Bagaimanapun, Dr Syed Husin berkata sampai sekarang tiada maklumbalas diterima daripada pihak BN.

Oleh itu Dr Syed Husin berkata, pihak pembangkang telah mengarahkan anggota-anggotanya supaya jangan benarkan diri mereka diprovokasi oleh pihak-pihak tertentu semasa berkempen.

Selain daripada itu, Dr Syed Husin berkata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghaffar Baba telah memfitnah pembangkang bahawa Malaysia akan mempunyai dua Perdana Menteri jika barisan pembangkang memerintah.

Ghafar berkata, jika pembangkang menang, Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, akan menjadi Perdana Menteri di sebelah utara sementara Setiausaha Agung parti DAP, Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri di bahagian selatan Semenanjung.

Ini adalah satu bentuk fitnah BN terhadap pembangkang yang telah memutuskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih secara sebulat suara untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka memerintah, kata Dr Syed Husin.

Beliau juga berkata adalah lebih baik bagi BN untuk menumpukan kepada isu-isu pilihan raya daripada menimbulkan perasaan takut di kalangan rakyat jika barisan pembangkang memerintah.

-- BERNAMA

Last changed: November 22, 1999