ReformIS

[ Contents | Post ]

CALON DAP MAHU ISYTIHARKAN HARTA

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 20:02:01

Comments

CALON DAP MAHU ISYTIHARKAN HARTA

SUNGAI SIPUT, 22 Nov (Bernama) -- Calon DAP bagi Kawasan Parlimen Sungai Siput, Dr D.Jeyakumar mahu menjadi contoh ahli politik yang bersih dan terbuka dengan mengisytiharkan hartanya kepada umum esok.

Bekas pakar jantung di Hospital Ipoh itu berharap lawannya yang juga penyandang kerusi Parlimen Sungai Siput iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu akan berbuat sama.

"Sebenarnya, semua ahli politik perlu melakukannya...isytiharkan harta anda kepada penduduk di kawasan pilihan raya anda, bukan sahaja kepada Perdana Menteri," kata Dr Jeyakumar di sini, hari ini. Beliau berkata, sudah tiba masa untuk mengubah budaya membuat duit dalam politik, dan khidmat kepada rakyat perlu diutamakan.

Dr Jeyakumar, 44, yang bertanding di bawah parti DAP memandangkan Parti Sosialis Malaysia yang diilhamkannya masih belum didaftarkan berkata, kempen beliau sejak dua hari lepas menunjukkan penduduk Sungai Siput kecewa dengan kerajaan dan mahukan perubahan.

"Saya mendapat respons baik ke mana sahaja saya pergi. Pengundi Melayu, Cina dan India menyokong pembangkang," kata Dr Jeyakumar yang permohonannya untuk bersara pilihan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan sehari sebelum penamaan calon.

-- BERNAMA

Last changed: November 22, 1999