ReformIS

[ Contents | Post ]

DAP BERJUANG UNTUK TERUSKAN SURVIVAL, KATA KIT SIANG

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 19:58:11

Comments

DAP BERJUANG UNTUK TERUSKAN SURVIVAL, KATA KIT SIANG

IPOH, 22 Nov (Bernama) -- DAP yang mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 1995, kini berjuang untuk meneruskan survival pada pilihan raya umum ke-10 ini, kata setiausaha agung Lim Kit Siang.

"Ia akan menjadi perjuangan hidup atau mati bagi DAP. Pilihan raya kali ini mempunyai banyak elemen yang tidak diduga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu perjumpaan pilihan raya di sini malam tadi.

Ketua pembangkang itu berkata beliau sendiri menyerahkan masa depannya kepada penduduk di Bukit Bendera, Pulau Pinang di mana beliau bertanding untuk kerusi Parlimen dan dan Kebun Bunga bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

"Saya rasa saya boleh menang. Jika saya gagal di sana, bermakna berakhirlah kareer saya," katanya.

Ditanya berapa banyak kerusi yang mampu dimenangi parti itu kali ini, Lim berkata sama ada mereka akan menang besar ataupun kalah teruk. Parti itu hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri pada 1995 berbanding 20 dan 44 sebelum ini.

DAP bertanding 44 kerusi Parlimen dan 86 kerusi negeri untuk pilihan raya umum 29 Nov ini.

Lim berkata dengan menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga, bermakna para pengundi di Malaysia memberi amaran bahawa jika tiada perubahan ke arah kebaikan dalam sistem pentadbiran BN, maka pada pilihan raya umum yang akan datang, mereka berhak untuk menolak BN daripada berkuasa.

"Kami tidak bercakap mengenai menumbangkan kerajaan. Perdana Menteri boleh menjadi perdana menteri semula tetapi kami mahu menafikan majoriti dua pertiga itu," katanya.

Lim mendakwa rakyat menunggu untuk mengajar BN dan jika angin pilihan raya kecil Teluk Intan bertiup di seluruh negara, sekurang-kurangnya lima menteri akan tumbang.

"Itu adalah keadaannya 14 bulan lepas. Dan jika rakyat masih dapat melihat dengan jelas dan tidak dikelirukan atau takut, lima menteri ini tidak akan selamat," katanya.

Calon DAP M. Kulasegaran berjaya merampas kerusi Teluk Intan pada pilihan raya kecil 1997 mengalahkan calon BN Dr Chee See Choke. Pada pilihan raya umum 1995 kerusi itu dimenangi BN melalui Ong Tin Kim, yang kemudian meninggal dunia.

Lim menamakan lima menteri itu sebagai Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, Menteri Perusahaan Utama Datuk Seri Dr Lim Kheng Yaik dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Ting Chew Peh.

-- BERNAMA

Last changed: November 22, 1999