ReformIS

[ Contents | Post ]

Mungkinkah Azmin tidak dibenarkan bertanding?

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 19:53:57

Comments

RAYUAN PENDAKWAAN TERHADAP KES AZMIN DIDENGAR RABU INI

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar rayuan pihak pendakwaan pada Rabu ini (24 Nov) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang telah melepas dan membebaskan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Azmin Ali daripada tuduhan memberi keterangan palsu.

Rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail. Pada 13 Julai lepas, Mohd Azmin dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri oleh hakim mahkamah sesyen Hamdan Indah terhadap tuduhan memberi keterangan palsu pada prosiding perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Hamdan telah memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Azmin, 34 yang kini calon Parti Keadilan Nasional yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Selangor pada pilihan raya 29 Nov ini.

Azmin dituduh memberi keterangan palsu semasa menjadi saksi pembela ke-14 pada peringkat pemeriksaan semula dalam prosiding berkenaan yang dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul.

Kenyataan palsu yang didakwa diberikan Azmin berbunyi "Saya menyatakan kepada majistret mengapa saya tidak boleh dilanjutkan tempoh tahanan kerana tindakan dan ugutan pihak polis semasa dalam tahanan adalah terlalu kejam dan memaksa saya membuat pengakuan yang melibatkan saudara Anwar dan tidak berasas sama sekali".

Beliau didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. -- BERNAMA

Last changed: November 22, 1999