ReformIS

[ Contents | Post ]

CALON PAS KERUSI PARLIMEN GUA MUSANG NAFI DAKWAAN KU LI

From:
Date: 21 Nov 1999
Time: 10:58:55

Comments

CALON PAS KERUSI PARLIMEN GUA MUSANG NAFI DAKWAAN KU LI

GUA MUSANG, 21 Nov (Bernama) -- Calon PAS bagi kerusi Parlimen Gua Musang Abdul Razak Abbas menafikan dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah semalam bahawa pemilihan beliau adalah kerana mempunyai perniagaan di sini dan dikenali penduduk tempatan.

Katanya, pemilihannya oleh pucuk pimpinan PAS untuk menentang Razaleigh adalah kerana prinsip perjuangan sebenar lantaran Razaleigh didakwa belot dalam perjuangan.

Razak dan Razaleigh pernah bersama-sama berjuang dalam parti Semangat 46, yang bergabung dengan parti pembangkang lain seperti PAS dan DAP dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada pilihan raya umum yang kesembilan.

"Anggaplah pertandingan saya dengan Ku Li adalah atas dasar untuk mempertahankan prinsip kerana Ku Li telah melakukan pecah amanah dalam perjuangan politik beliau," katanya kepada Bernama di Kuala Betis dekat sini hari ini.

Semalam Razaleigh dalam sidang akhbar berkata pemilihan Razak kerana beliau mempunyai perniagaan di kawasan ini dan dikenali oleh penduduk tempatan.

Razak berkata beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi di Gua Musang tetapi hubungannya yang rapat dengan penduduk tempatan disebabkan tugas beliau sebagai Pegawai Penerangan PAS negeri yang sering berceramah di kawasan itu.

Razak yang pernah mendapat gelaran "Panglima Jihad Ku Li" semasa bersama Parti Melayu Semangat 46 (S46) menganggap pertandingan itu antara guru (Razaleigh) dengan murid (Razak). -- BERNAMA

Last changed: November 21, 1999