ReformIS

[ Contents | Post ]

FADZIL NOOR TIDAK AKAN PERTAHANKAN KERUSI BUKIT RAYA

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 10:37:58

Comments

FADZIL NOOR TIDAK AKAN PERTAHANKAN KERUSI BUKIT RAYA

ALOR SETAR, 19 Nov (Bernama) -- Pas membuat kejutan apabila presiden parti itu Datuk Fadzil Noor berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Raya pada pilihan raya umum 29 Nov ini.

Ketika mengumumkan senarai calon PAS untuk negeri Kedah, Fadzil berkata beliau berpindah dari Bukit Raya, kerusi yang disandang selama empat penggal sejak 1982, untuk bertanding di kawasan DUN Anak Bukit.

Fadzil juga akan berpindah dari Parlimen Kuala Kedah ke Parlimen Pendang.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa senarai calon parti itu kali ini menonjolkan pelbagai lapisan kebolehan yang meliputi ulama, golongan profesional seperti peguam, doktor dan jurutera, intelektual serta aktivis masyarakat.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga tokoh agama, Datuk Dr Harun Din yang disebut-sebut akan mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Kubang Pasu tidak disenaraikan.

Sebaliknya, anggota Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat Subki Abdul Latif akan mencabar Dr Mahathir di kawasan itu.

Fadzil berkata senarai kali ini menyaksikan 80 peratus muka baru untuk parlimen dan 60 peratus untuk Dewan Undangan Negeri.

Muka baru yang akan bertanding kerusi parlimen ialah bekas Imam Besar Masjid Negara Taib Azzamuddin Md Taib (Baling), Sasterawan Negara Prof.

Emiritius Datuk Shahnon Ahmad (Sik) dan Setiausaha Agung Pas Pusat Nasharuddin Mat Isa (Yan).

Selain itu, senarai itu juga mengandungi aggota jawatankuasa Pas Pusat Mohamad Sabu (Kuala Kedah), Ir. Amiruddin Hamzah (Langkawi), Drs Abu Bakar Othman (Jerlun), Zawawi Ahmad (Padang Terap) dan muka lama, Ketua Pemuda PAS Pusat Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Bagi DUN pula, Pas meletakkan Sidek Arifin (Padang Matsirat), Che Din Arshad ((Kuah), Abdul Ghani Ahmad (Air Hitam), Abdul Wahab Abdul Rahman (Kota Siputeh), Abu Kassim Abdullah (Tunjang), Mat Nanyan Saad (Jitra), Mohd Yusoff Zakaria (Kuala Nerang) dan Wan Jaafar Wan Ahmad (Pedu).

Ini diikuti Sheikh Ismail Kamis (Bukit Lada), Mohd Shauki Ibrahim (Langgar), Niamat Yusoff (Tanjung Seri), Fadzil Ahmad (Alor Merah), Kassim Md Isa (Kubang Rotan), Ir. Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor) dan Mohamed Taulan Mat Rasul (Bukit Raya).

Selain itu, senarai itu turut mengandungi Abdul Rahim Abdul Rahman (Sungai Tiang), Azizan Abdul Razak (Sala), Nasir Othman (Guar Chempedak), Mohd Isa Shafie (Belantek), Yahya Abdullah (Jeneri), Dr Hamdan Mohd Khalib (Bukit Selambau), Ahmad Rashid (Gurun) dan Yusof Omar (Tanjung Dawai).

Muka lama, Datuk Mohd Muslim Othman akan bertanding di Pantai Merdeka, manakala Abdul Halim Nasir di Bakar Arang, Abdul Rauf Che Mes di Bayu, Suhaimi Ahmad di Kupang, Ahmad Zakaria di Kuala Ketil, Abdul Talib Yaakob di Merbau Pulas, novelis Azizi Abdullah di Kulim dan Yaakob Hussin di Bandar Baharu.

Fadzil berkata PAS diperuntukkan 10 dari 15 kerusi parlimen dan 32 dari 36 kerusi DUN di negeri ini setelah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Barisan Alternatif.

DAP memperolehi satu kerusi parlimen dan empat DUN manakala Parti Keadilan Nasional hanya bertanding di empat kerusi parlimen. Parti Rakyat Malaysia tidak diperuntukkan sebarang kerusi. -- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999