ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS TERENGGANU BENAR CALON KEADILAN GUNA SIMBOL BULAN PURNAMA

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 10:34:08

Comments

PAS TERENGGANU BENAR CALON KEADILAN GUNA SIMBOL BULAN PURNAMA

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Pas dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) di Terengganu mencapai kata sepakat membenarkan calon Keadilan yang bertanding pada pilihan raya umum 29 Nov ini menggunakan lambang bulan purnama bagi menarik sokongan pengundi di negeri ini.

Setiausaha Pas negeri, Haji Mustafa Ali berkata calon Keadilan dibenarkan menggunakan lambang Pas dalam pilihan raya umum nanti kecuali bagi pertandingan di kawasan parlimen Kemaman yang ditandingi ketua Keadilan Negeri, Abdul Rahman Yusof "Bagi parlimen Kemaman, calon parti Keadilan itu menggunakan simbol parti itu sendiri kerana calonnya adalah ketua Keadilan negeri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut atas alasan apa calon Keadilan di negeri ini dikehendaki menggunakan simbol Pas dalam pilihan raya umum nanti.

Bagaimanapun, difahamkan langkah itu bagi memastikan kemenangan bagi calon parti Keadilan memandangkan pengaruh parti berkenaan tidak begitu kuat berbanding dengan Pas.

Ditanya bolehkah calon Keadilan yang bertanding atas lambang Pas dan memenangi pilihan raya itu kemudian mendakwa bahawa kemenangan itu adalah kemenangan Keadilan, Mustafa berkata: "Boleh".

Katanya, apa yang penting ialah kemenangan bagi pakatan parti pembangkang itu tanpa mengambil kira sama ada calon itu daripada Keadilan atau Pas. -- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999