ReformIS

[ Contents | Post ]

SPR AWASI KEADAAN DI KELANTAN

From:
Date: 19 Nov 1999
Time: 10:26:12

Comments

SPR AWASI KEADAAN DI KELANTAN

KOTA BAHARU, 19 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Kelantan sedang mengawasi keadaan di negeri ini berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas yang mungkin menjejaskan proses pengundian pada 29 Nov.

Pengawai Pilihanraya Negeri Mohamed Nor Daud berkata jika banjir, SPR kemungkinan menangguh proses pengundian bagi pilihan raya umum ke-10 di negeri ini.

SPR kini menerima laporan daripada Jabatan Perkidmatan Kajicuaca, polis dan Jabatan Pengairan dan Saliran dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kelantan dilanda hujan lebat sejak dua hari lepas menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kota Baharu mengalami banjir kilat.

Mohamed Nor berkata SPR telah mengenal pasti kawasan rendah yang diancam banjir iaitu di jajahan Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Baharu dan Pasir Puteh.

Menurutnya SPR kemungkinan mengambil tindakan memindah pusat mengundi di kawasan rendah ke kawasan tinggi bagi membolehkan proses pengundian berjalan lancar.

Pengarah JPS Kelantan, Ir Cho Weng Keong ketika dihubungi berkata laporan yang diterima semalam mendapati hujan lebat yang berlaku adalah disebabkan oleh "hujan pantai" yang boleh menyebabkan kawasan rendah di negeri itu dinaiki air dan mudah surut.

Katanya bilik gerakan banjir belum dibuka dan JPS sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, beberapa kawasan rendah di Kota Baharu dan Pasir Puteh dinaiki air antara 0.3 dan 0.6 meter hari ini berikutan hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi.

Tinjauan Bernama mendapati jalan raya di sekitar perumahan kawasan Desa Rahmat, di sini ditenggelami air setinggi 0.4 meter menyebabkan penduduk terperangkap dan sukar untuk keluar ke bandar.

Hujan lebat melanda Kota Baharu bermula malam tadi sehingga tengah hari ini.

Di PASIR PUTEH, beberapa batang sungai di sini melimpahi tebing menyebabkan rumah berhampiran sungai itu ditenggelami air antara 0.3 dan 0.4 meter.

Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan ketika dihubungi berkata bilik gerakan banjir belum dibuka kerana paras air di Sungai Kelantan masih di bawah paras berjaga-jaga.

-- BERNAMA

Last changed: November 19, 1999