ReformIS

[ Contents | Post ]

PEGUAM NEGARA DIMINTA TERIMA PENYERAHAN NOTIS SINGKAT

From:
Date: 18 Nov 1999
Time: 21:51:36

Comments

PEGUAM NEGARA DIMINTA TERIMA PENYERAHAN NOTIS SINGKAT

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara diminta menerima penyerahan notis secara singkat dengan mengemukakan memorandumkehadiran berhubung dengan permohonan yang dikemukakan oleh ahli akademik Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Dr Jomo yang menamakan Suruhanjaya Pilihanraya semalam mengemukakan permohonan bagi pengisytharan bahawa pilihan raya umum pada 29 Nov tidak boleh diteruskan secara sah tanpa penyertaan 680,000 orang pengundi yang baru mendaftar.

Permohonan itu dikemukakan oleh Karpal Singh & Co. Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh dalam kenyataan hari ini berkata beliau telah menulis kepada Peguam Negara meminta mereka menerima penyerahan notis singkat dengan mengemukakan memorandum kehadiran secepat mungkin supaya tarikh mendengar saman itu boleh ditetapkan sebelum hari mengundi.

Menurut undang-undang, Peguam negara mempunyai tempoh lapan hari untuk mengemukakan memorandum kehadiran. Salinan saman pemula yang dimeteri diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

"Jika mahkamah membuat keputusan selepas 29 Nov 1999 dengan keputusan itu memihak kepada Jomo, ini bermakna pilihan raya yang diadakan itu adalah tidak sah. Perbelanjaan bagi mengadakan pilihan raya itu adalah besar," kata Karpal.

Beliau berkata isu-isu yang dibangkitkan dalam saman itu mempunyai kesan dan implikasi mendalam.

Karpal Singh menggesa Peguam Negara mengambil langkah sewajarnya tanpa memprejudis Suruhanjaya Pilihanraya.

Dalam permohonannya, Dr Jomo, 46, antara pengundi yang baru mendaftar berkata pilihan raya itu tidak harus diteruskan kerana jika diteruskan, ia bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa sebagai pengundi yang baru mendaftar, beliau berhak untuk mengundi di kawasan parlimen Petaling Jaya Selatan dna kawasan dewan undangan negeri Bukit Gasing pada pilihan raya 29 Nov.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Omar Mohamed Hashim mengumumkan Jumaat lalu bahawa SPR akan menggunakan daftar pemilih 1998 yang disahkan pada 7 Jan bagi pilihan raya kali ini.

Dr Jomo mendakwa dalam afidavit yang disertakan bagi menyokong permohonan bahawa beliau berhak mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Dr Jomo berkata beliau telah mendaftar sebagai pengundi di kantin Fakulti Sains, Universiti Malaya pada lewat April atau awal Mei selaras dengan Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan dan pendaftarannyaditerima oleh ejen SPR.

Beliau mendakwa bahawa mengikut Perkara 119 (4), tarikh kelayakan ialah tarikh daftar pemilih disediakan atau disahkan dan bukan apabila persiapan atau pengesahan itu telah selesai. -- BERNAMA

Last changed: November 18, 1999