ReformIS

[ Contents | Post ]

LEBIH SEPARUH DARIPADA CALON DAP PERAK ADALAH MUKA BARU

From:
Date: 18 Nov 1999
Time: 21:23:52

Comments

LEBIH SEPARUH DARIPADA CALON DAP PERAK ADALAH MUKA BARU

IPOH, 18 Nov (Bernama) -- Lebih daripada separuh calon DAP Perak untuk pilihan raya umum ke-10 ini merupakan muka baru, kata pengerusinya Ngeh Koo Ham.

Beliau berkata senarai calon-calon itu akan mengejutkan ramai orang kerana mereka terdiri daripada golongan profesional dan mempunyai kelayakan yang tinggi, termasuk pakar-pakar perubatan, jurutera, peguam dan aktivis sosial.

"Terdapat banyak permintaan bagi pasukan yang berkaliber tinggi...kami mempunyainya dalam pasukan kami yang kelayakan mereka melebihi barisan exco yang ada," katanya kepada pemberita selepas pengumuman pakar dada Hospital Besar Ipoh Dr D. Jeyakumar sebagai calon kerusi Parlimen Sungai Siput.

Dr Jeyakumar daripada parti yang belum didaftarkan lagi, Parti Sosialis Malaysia, akan bertanding di bawah bendera DAP menentang penyandang dan presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Ngeh berkata parti itu akan bertanding di sembilan kawasan Parlimen dan 17 kerusi negeri di Perak, kurang satu daripada yang diumumkan sebelum ini kerana DAP memberikan kerusi negeri Chenderiang kepada Keadilan.

Pada pilihan raya umum 1995, DAP hampir lenyap daripada negeri ini apabila mereka hanya menang satu kerusi negeri Setiawan tetapi berjaya merampas kerusi Parlimen Teluk Intan pada satu pilihan raya kecil.

Ngeh berkata senarai calon telah diputuskan tetapi hanya akan diumumkan esok kerana beliau masih menunggu watikah pelantikan daripada ibupejabat parti di Petaling Jaya.

"Ia telah siap tetapi mungkin terdapat pertukaran pada saat-saat akhir, Tunggulah pengumumannya esok," katanya.

Ngeh, seorang peguam dijangka bertanding di kawasan Parlimen Ipoh Timur dan kerusi negeri Pasir Pinji sementara setiuasaha DAP negeri M. Kulasegaran, penyandang kerusi Teluk Intan, akan berpindah ke kerusi Parlimen Ipoh Barat dan kerusi negeri Buntong.

Sementara itu, bekas anggota Dewan Undangan Negeri DAP kawasan Teja, R.K. Muthu mempersoalkan kejujuran DAP mencalonkan bukan anggotanya untuk bertanding atas tiketnya dan menolak anggotanya sendiri.

Katanya parti itu kini ketandusan pemimpin dari kalangan orang Melayu apabila bekas anggota Dewan Undangan Negeri Dermawan Mohamad Asri Othman dan bekas wakil rakyat Lahat Fazlan Yahya keluar DAP.

-- BERNAMA

Last changed: November 18, 1999