ReformIS

[ Contents | Post ]

POLIS TIDAK JANGKA KEKACAUAN MENJELANG PILIHAN RAYA

From:
Date: 18 Nov 1999
Time: 21:19:17

Comments

POLIS TIDAK JANGKA KEKACAUAN MENJELANG PILIHAN RAYA

KOTA BAHARU, 18 Nov (Bernama) -- Polis tidak menjangka sebarang kekacauan serius di negeri ini menjelang pilihan raya umum ini, kata Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam dan Trafik Kelantan Supt Alias Muhammad.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas, polis percaya tidak akan timbul kes kekerasan atau kekacauan, baik pada hari penamaan calon Sabtu ini mahupun hari mengundi pada 29 Nov.

"Bagaimanapun, polis sentiasa memantau keadaan dan bersedia menghadapi kemungkinan," katanya pada taklimat media anjuran Jabatan Penerangan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan memberi tumpuan utama di sebanyak 488 pusat pengundian, 1,155 saluran mengundi di seluruh Kelantan di samping 14 tempat penamaan calon dan 14 pusat pengiraan undi.

"Kita akan bertindak mengikut landasan dan peraturan yang sedia ada dan diharap orang ramai dapat memberi kerjasama dalam mempastikan kelancaran perjalanan pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, khidmat 700 anggota polis tambahan dari pelbagai unit akan lebih tertumpu kepada membantu lebih 3,000 anggota yang sedia ada, selain melaksanakan tugas harian.

Sebanyak 700 anggota polis pelbagai pangkat termasuk dari Pasukan Gerakan Am akan tiba secara berperingkat seminggu sebelum hari mengundi.

Katanya, sebanyak 500 anggota polis akan ditempatkan di saluran dan kawasan mengundi, selain ditugaskan membantu mengawasi kawasan di sempadan sebagai pasukan simpanan.

Polis juga akan menyusun atur trafik kerana menjangka sedikit kesesakan lalulintas di beberapa jalan utama semasa hari mengundi pada 20 Nov. "Polis akan menutup beberapa batang jalan termasuk Jalan Dato' Pati, Jalan Maju, Jalan Doktor, Jalan Padang Garong dan Jalan Hospital bermula dari 7 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif lain seperti Jalan Temenggung, Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Kebun Sultan dan Jalan Pintu Pong sepanjang tempoh itu.

Menurut Alias, polis akan membuka bilik gerakan khas dan pusat kawalan yang beroperasi 24 jam di semua daerah di negeri ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat tambahan berhubung pilihan raya.

-- BERNAMA

Last changed: November 18, 1999